PARIT BUNTAR : Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) Perak dengan kerjasama syarikat swasta sedang membina 8,000 rumah mampu milik di beberapa daerah di negeri ini yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2023.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azizul Rahman Mohammad berkata, rumah-rumah itu yang berharga antara berharga RM 70,000 hingga RM 250,000 kini masih di peringkat awal pembinaan.

Menurutnya, pembinaan telah dimulakan tahun lalu dan mulai Mac kerja-kerja pembinaan di beberapa daerah seperti Batang Padang, Kinta dan Kerian akan dipergiatkan.

“Di Kerian sebanyak 250 buah rumah mampu milik akan dibina di kawasan Dennis Town,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan majlis penyerahan Rumah Bantuan Khas kepada  Hamisah Din, 51, mangsa kebakaran di kampung Kuala Bagan Tiang, disini, hari ini.

Majlis penyerahan itu disempurnakan Exco Kemudahan Awam Infrastruktur Pertanian dan Perladangan Negeri Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim.

Pada 13 Ogos tahun lalu, rumah Hamisah dan anaknya, Nur Fazira Mohd Nor, 22, yang juga Atlit Bola Baling Sukan Malaysia (SUKMA) Perak, musnah terbakar.

Kejadian itu menyebabkan keluarga tersebut tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa menyewa sebuah rumah kampung di Sungai Labu Bawah dengan kadar sewa RM 350 sebulan.

Nur Fazira yang ditemui melahirkan rasa syukur kerana keprihatinan kerajaan negeri melalui SSI membolehkan dia dan 10 lagi ahli keluarga dapat mendiami rumah baru yang jauh lebih selesa.

“Terima kasih kerajaan negeri dan  SSI kerana meringankan beban saya sekeluarga,” katanya

Sementara itu Abdul Yunus berkata, pembinaan rumah itu sebagai mengenang jasa Nur Fazira kerana mengharumkan nama negeri Perak dalam sukan bola baling.