GOPENG: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengagihkan RM2.03 juta zakat korporatnya kepada 6,400 asnaf dari seluruh negara sepanjang tahun 2017.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner berkata, jumlah itu meningkat dengan ketara berbanding RM1.7 juta kepada 5,000 asnaf pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, peningkatan itu sekaligus membuktikan semakin ramai peniaga telah berdaftar dan menggunakan perkhidmatan SSM.

Beliau turut menjangkakan, bilangan itu akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Saya harap lebih ramai peniaga akan berdaftar dan menggunakan perkhidmatan kami kerana secara tidak langsung, mereka juga ada ‘saham’ dalam zakat yang SSM keluarkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengagihan zakat korporat SSM di Madrasah Ehsaniah Ke 3, Kampung Pulai di sini pada Jumaat.

zakat_ssm 2

Pada majlis itu, SSM mengagihkan RM58,200 kepada 144 asnaf yang menerima RM300 setiap seorang dan RM3,000 kepada setiap surau dan madrasah.

Zahrah berharap, pemberian itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para penerima.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sehingga 31 Disember lalu, sebanyak 64,910 pendaftaran perniagaan atas talian dicatatkan yang terdiri daripada 2,254 syarikat; 61,813 perniagaan dan 843 adalah Perkongsian Liabiliti Terhad.

Beliau juga berharap, lebih banyak peniaga atas talian dapat berdaftar demean SSM bagi membantu mengurangkan kes-kes penipuan.

zakat_ssm