BATU KURAU: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengedarkan sumbangan zakat korporat lebih RM11 juta sejak beberapa tahun lalu, di samping sumbangan di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Tahun lalu sahaja, SSM mengagihkan lebih RM3.8 juta zakat manakala agihan CSR pula lebih RM1.6 juta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sumbangan itu telah dibuat sejak beberapa tahun lalu dan bukan hanya ketika musim pilihan raya.

Menurutnya, cuma kebetulan pengedaran dibuat bulan April apabila akaun ditutup bulan Disember dan didapati SSM memperolehi keuntungan.

“Yang cakap untuk pilihan raya ni, mereka yang memang baru nampak kita buat ini sebab baru pertama kali mereka tengok.

“Selama ini dia tak endah pun, dia tak ambil kisah pun, pada hal kita dah buat banyak kali dah tapi oleh kerana mereka tak sedar, kerana mereka tak ambil kira pun.

“Apabila dah dekat pilihan raya, semua apa yang kita buat, kita ambil mereka kaitkan dengan pilihan raya, ini buat sebab pilihanraya, semua kita lakukan sebab pilihan raya, pada hal yang kita lakukan ini berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian zakat dan agihan CSR di Sempeneh Riverfront dekat sini, hari ini.

Seramai 250 asnaf di sekitar Batu Kurau, Perak, menerima RM 200 setiap seorang di samping 50 penerima agihan SCR juga bernilai RM200 seorang.

Di samping itu, lima buah surau masing-masing menerima sumbangan RM2,000 dan sebuah masjid menerima RM3,000.

BERITA BERKENAANPenduduk Sepanggar Yakin BN Terus Jadi Pilihan

1/3