IPOH: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini menyumbangkan dua buah mesin hemodialisis bernilai RM80,000 kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dalam usaha membantu melicinkan proses rawatan penyakit buah pinggang.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong berkata, Perak merupakan negeri pertama yang menerima sumbangan empat buah mesin daripada SSM yang bernilai RM160,000 sejak 20 April lepas.

Menurut beliau, sebelum ini pihaknya juga telah menyalurkan dua buah mesin hemodialisis kepada Hospital Selama bagi memenuhi keperluan pesakit buah pinggang yang kerap memerlukan rawatan berterusan selain memenuhi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

“Kerjasama ini juga merupakan salah satu Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di mana kita berharap mesin ini dapat membantu pesakit buah pinggang yang memerlukannya.

43844fd6-3cb7-42d1-84f4-6a1a2ce98040

“Bayangkan, dalam masa seminggu, seorang pesakit buah pinggang secara minima perlu melakukan tiga kali rawatan selama empat jam berturut-turut, justeru mesin ini sememangnya amat diperlukan buat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika ditemui selepas menyampaikan dua unit mesin haemodialisis tersebut kepada Pengarah HRPB, Dr Premavathy Balakrishnan dan sesi lawatan sekitar Unit Forensik HRPB, pada pagi Selasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abdul Wahab Fenner berkata, pihaknya menyumbang kesemua empat mesin itu adalah kakitangan hospital yang mencukupi di samping menampung keperluan pesakit buah pinggang.

Katanya, selain daripada unit mesin rawatan buah pinggang itu pihaknya juga menyumbangkan satu unit mesin dialiser dan satu unit mesin reverse osmosis kepada kedua-dua hospital berkenaan.

“Kita melaksanakan sumbangan ini kerana kita melihat kepada Triple Bottom Line di dalam sesebuah organisasi iaitu dari segi kewangan, persekitaran dan sosial dan untuk program CSR ini kita menyentuh kepada aspek sosial,” ujarnya.

Menurut Zahrah, pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan hospital lain di seluruh negara untuk mengetahui samada terdapat keperluan bagi sebarang jenis mesin rawatan harian yang boleh dibantu pada masa akan datang.