TELUK INTAN – Pasukan Bantuan Sokongan Emosi (SST) Kementerian Pendidikan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Manjung dan PPD Hilir Perak berkolobrasi membantu murid yang terlibat dengan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, di sini.

Penolong Pegawai PPD Manjung, Nor’ain Musa berkata, peranan pasukan ini adalah membantu menyeimbangkan emosi murid-murid yang berhadapan situasi bencana.

Menurutnya, ia selaras dengan keinginan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mahu menjadikan persekitaran pendidikan dalam keadaan yang penuh kegembiraan, penyayang dan saling hormat menghormati.

“Kita memberikan bantuan dalam bentuk sokongan dan bimbingan melalui aktiviti-aktiviti kepada mangsa bencana yang berlaku semasa banjir.

“Sejak ditubuhkan, kumpulan ini telah melaksanakan aktiviti dan program yang melibatkan misi bantuan dan sukarelawan mengikut daerah masing-masing berdasarkan keperluan yang seadanya,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan program di SK Changkat Jong yang menjadi pusat penempatan sementara bagi mangsa banjir.

Nor’ain berkata, pihaknya kini sedang menyusun perancangan dengan lebih teratur dalam proses mempertingkatkan lagi kemahiran individu bagi setiap anggota pasukannya.

Katanya, ia penting sebagai persediaan dalam melaksanakan misi kerja-kerja sukarelawan dalam memberikan perkhidmatan membantu mangsa-mangsa yang terlibat.

“Pengurusan SST ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang dipikul oleh ahli kita dalam memberi semangat, bimbingan serta motivasi untuk memastikan emosi yang sihat selain mendekati murid-murid ini bagi menarik minat mereka untuk hadir ke sekolah walaupun sedang dilanda bencana.

“Kita amat mengalu-alukan dan bersedia mempertimbangkan cadangan kerjasama dan komen yang kritis bagi mempertingkatkan keberkesanan misi sukarelawan pada masa depan,” katanya – sinar