Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan diperkenalkan semula pada 1 September depan bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan merencatkan perkembangan ekonomi negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Dan Pembangunan Koridor, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata pelaksanaan SST tidak akan memberi impak kerana ianya merupakan cukai lama yang pernah dilaksanakan dan ianya diyakini baik.

YB Mohammad Nizar berkata tindakan untuk memperkenalkan kembali SST itu tidak mengganggu minat pelabur yang berminat untuk melabur di negeri ini memandangkan ia adalah cukai yang biasa dihadapi para pelabur.

“Oleh kerana SST merupakan cukai lama, jadi ia tidak mengganggu minat pelabur masuk kerana ia telah digunakan di mana-mana negara mereka (pelabur) labur pun serta menghadapi cukai yang sama.

“Jadi bila kita kenalkan semula SST, ia tidak akan menjejaskan minat pelabur datang ke negara kita, malah ia tidak memberi apa-apa kesan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika selepas mengadakan lawatan kerja di SJK(T) Taman Desa Pinji, Lahat, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan pelaburan negeri, YB Mohammad Nizar berkata ianya menunjukkan perkembangan yang positif.

Jelas beliau, semakin ramai pelabur dari dalam dan luar negara mula menunjukkan minat mereka kepada pentadbiran kerajaan baharu ini.

“Pelabur di negeri Perak amat menggalakkan, buat masa ini saya didatangi oleh tidak kurang lima pelabur dalam satu hari.

“Mereka terdiri daripada pelabur dalam dan luar negara, yang datang kepada saya kerana berminat untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri yang baharu yang menurut mereka tidak mengamalkan birokrasi dan mengambil masa yang lama.

“Saya dan agensi-agensi berkaitan akan cuba sedaya upaya memberikan perhatian kepada pelabur-pelabur untuk memberikan kelulusan mereka bertapak di sini,” ujarnya.

Selain itu, tambah YB Mohammad Nizar, kehadiran pelabur di negeri ini juga akan memberi beberapa kesan yang positif antaranya menambahkan pendapatan negeri, memperbanyakkan peluang pekerjaan serta memberikan teknologi tambahan kepada industri dalam negeri.