IPOH: Stadium Indera Mulia dan Arena Skuasy yang merupakan dua gelanggang penting bagi acara sukan sepanjang berlangsungnya SUKMA bermula 12 September depan telah diserahkan hari ini secara rasmi kepada kerajaan negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, proses penyerahan itu dibuat kerja-kerja menaiktaraf kedua-dua gelanggang sejak tahun lepas selesai sepenuhnya.

Abdul Puhat berkata, keseluruhan kos menaiktaraf Stadium Indera Mulia menelan belanja sebanyak RM14.5 juta memakan masa setahun setengah.

Manakala Arena Skuasy yang melibatkan kos RM3.4 juta berjaya disiapkan dalam tempoh sembilan bulan.

“Stadium Indera Mulia menjadi gelanggang untuk acara gimnastik. Kedua-dua gelanggang ini telah disiapkan mengikut jadual masa dan memenuhi standard spesifikasi antarabangsa.

“Bagi peringkat awal, kita akan gunakannya terlebih dahulu untuk kegunaan atlet-atlet kita berlatih. Kita tidak akan buka untuk kegunaan awam buat masa ini untuk pastikan tiada sebarang kerosakan berlaku serta hal-hal lain,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Penyerahan kedua- dua gelanggang berkenaan daripada kontraktor pembinaan kepada kerajaan negeri Perak di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada petang Rabu.

Turut hadir, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man dan Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mohd. Ghazali Jalal.

Tambah Abdul Puhat, Stadium Indera Mulia yang kini lebih berkapasiti besar telah dilengkapi dengan gelanggang gimnastik dan gimrama malah dapat memuatkan sehingga 4,000 penonton manakala Arena Skuasy pula dilengkapi dengan 11 gelanggang dan 100 kerusi penonton di bahagian gelanggang utama.

“Secara tidak langsung, pematuhan spesifikasi ini sebenarnya akan membolehkan mana-mana pertandingan gimnastik, gimrama dan skuasy bertaraf antarabangsa dapat dianjurkan di kedua-dua buah gelanggang ini. Inilah harapan kita selepas SUKMA selesai dianjurkan dengan jayanya September depan,”ujarnya lagi.