LONDON: Kelab-kelab di Liga Perdana Inggeris menjana banyak duit daripada siaran televisyen dan sebilangan mereka masih boleh mencatat keuntungan sekalipun stadium kosong, menurut laporan BBC.

Menggunakan statistik musim 2016/17, dengan kebanyakan kelab menerima manfaat daripada keuntungan £8.3 bilion (RM43.33 bilion) dijana siaran televisyen, pendapatan hari perlawanan hanya menyumbang kurang satu perlima daripada setiap £1 (RM5.22) yang diperoleh 18 pasukan di Liga Perdana.

Bilangan kelab yang mencatatkan keuntungan sebelum cukai walaupun pendapatan hari perlawanan tidak dikira meningkat daripada dua pada musim 2015/16 kepada 10 pada 2016/17.

Begitupun, hanya Tottenham Hotspur yang disenarai dalam enam kelab utama Liga Perdana dengan Leicester menduduki tempat teratas.

Pakar kewangan sukan di Universiti Sheffield Hallam, Dr Rob Wilson memberitahu BBC perubahan terhadap kewangan kelab-kelab itu datang selepas perjanjian dengan televisyen dipersetujui pada 2012 yang menjana £3.018 bilion (RM15.76 bilion).

“Ketika itulah fokus benar-benar menjurus kepada menjana wang daripada televisyen berbanding resit tiket ketika hari perlawanan,” kata Wilson.

“Struktur pendapatan kelab-kelab ini cukup baik di mana mereka berada. Apabila kamu memperoleh bayaran £120 juta (RM626.48 juta) daripada Liga Perdana dengan hanya menyepak bola, kamu boleh bermain dengan stadium kosong jika kamu mahu.”

Begitupun, Pengerusi Persekutuan Peminat Bolasepak, Malcolm Clarke, berkata syarikat televisyen gergasi seperti Sky dan BT Sport tidak bersedia untuk mengeluarkan duit yang banyak jika suasana di dalam stadium tidak diambil kira.

“Saya katakan ia adalah elemen paling penting,” kata Clarke. “Pemain dan pengurus datang dan pergi, tetapi kami sentiasa di sana.

“Alasan mereka mendapat perjanjian televisyen yang lumayan adalah disebabkan produk yang ditunjukkan oleh penonton, keriuhan, peminat pasukan lawan dan juga suasana, ia adalah sebahagian daripadanya.

“Betapa bosannya untuk melihat perlawanan Liga Perdana dalam stadium yang kosong?” – AFP