MANJUNG: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini mengesahkan Stadium Manjung adalah selamat dan sedang dibaikpulih bagi menambah kapasiti penonton.

“Kalau ada yang membuat laporan bahawa Stadium Manjung tidak selamat, ia tidak benar kerana kita sedang membaikpulih bagi menambah kapasiti penonton,” tegasnya.

Mengulas dakwaan tersebut, beliau berkata, sehubungan itu, orang ramai tidak perlu bimbang dengan aspek keselamatan di stadium tersebut.

“Saya mahu memjelaskan bahawa ia merupakan sebahagian persiapan yang kita laksanakan bagi menghadapi SUKMA yang dijangka berlangsung pada tahun hadapan.

“Kita mahu menambah kapasiti penonton, kalau dulu mungkin boleh muat 5,000 tetapi sekarang boleh menjangkau lingkungan 12,000 penonton.
“Setakat ini tiada kelewatan dari segi perjalanan projek dan dijangka siap Januari depan.

“Sekali lagi saya tekankan jika ada yang pandang dan kata tak selamat, memanglah sebab ia sedang dibaikpulih,” katanya.

Dr. Zambry berkata, kerajaan negeri turut membahagikan lokasi acara SUKMA di beberapa daerah sebagai venue utama selain Ipoh dan Manjung.

Sebelum ini, timbul persoalan dalam media tempatan yang melaporkan hajat Perak menggunakan Stadium Manjung sebagai venue rasmi saingan Liga Super 2018 menggantikan sementara Stadium Perak masih kabur atas aspek keselamatan.