HAJAT Perak mengunakan Stadium Manjung sebagai venue rasmi saingan Liga Super 2018 mengantikan sementara Stadium Perak masih kabur atas aspek keselamatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam berkata, pihaknya masih mengkaji permohonan Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) dan ia dalam penelitian badan itu.

“Kita tak boleh sahkan mereka akan beraksi di Manjung kerana ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan.

“Buat masa ini, kami juga akan mempertimbangkan Stadium TLDM Lumut sebagai venue rasmi pasukan Perak tetapi semuanya masih di peringkat pemerhatian.

“Perkara utama ialah aspek keselamatan untuk perlawanan berprofil tinggi melibatkan pasukan Perak, yang mana kita perlu menitikberatkan perkara itu bagi mengelakkan berlakunya sebarang huru-hara atau pergaduhan.

“Selain itu, kita juga menekankan aspek lampu limpah, yang mana perkara ini juga menjadi antara kelemahan yang boleh menjejaskan kualiti siaran dan perlawanan itu sendiri.

“Ada kemungkinan jika aspek lampu limpah tidak menepati piawaian, perlawanan membabitkan pasukan Perak di laman sendiri akan berlangsung pada waktu petang,” katanya.

Pada masa sama, Kevin turut mengulas venue perlawanan membabitkan pendatang baru Liga Super musim depan, Kuala Lumpur dan PKNP FC.

“Untuk Kuala Lumpur kita memang berharap mereka dapat menggunakan Stadium Cheras. Tapi kita belum dapat membuat sebarang pengesahan kerana ada beberapa perkara yang perlu diteliti sebelum kami meluluskan penggunaan stadium itu.

“Manakala, bagi PKNP kita memang sudah meluluskan Stadium Batu Kawan sebagai venue rasmi mereka musim depan.

“Bagi saya tiada isu untuk PKNP, sebuah pasukan dari Perak tetapi menggunakan stadium di Pulau Pinang sebagai venue rasmi kerana mereka sendiri yang meminta untuk menggunakan stadium itu musim depan,” katanya.

Kevin turut meminta semua pasukan lain untuk segera mengesahkan status venue rasmi mereka bagi menghadapi musim depan.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi masa sehingga minggu hadapan kepada semua pasukan agar dapat melancarkan kerja penelitian segala aspek sebelum bermulanya saingan liga Januari nanti.