IPOH: Stadium Perak yang kini berwajah baru setelah selesai menjalani proses naiktaraf sejak November lepas akan digunakan semula bagi perlawanan pusingan kedua Piala FA yang dijadualkan berlangsung 20 April ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, Stadium Perak yang dinaiktaraf bagi tujuan kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijadualkan berlangsung September depan kini siap sepenuhnya.

Menurut Abdul Puhat, stadium tersebut dijangka boleh digunakan sepenuhnya menjelang perlawanan pusingan kedua peringkat suku akhir Piala FA melibatkan Perak menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC).

“Ia merupakan perlawanan penting dan Perak meletakkan misi untuk menang dalam pertembungan itu berikutan PKNS FC merupakan pasukan yang menyingkirkan skuad The Bos Gaurus pada pusingan kedua Piala FA musim lepas,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan Stadium Indera Mulia dan Arena Skuasy oleh pihak kontraktor kepada kerajaan negeri di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada petang Rabu.

Menurut Abdul Puhat, perlawanan di Stadium Perak yang berwajah baharu diyakini mampu memberi semangat kepada skuad Perak dan penonton pada saingan Liga Super dan Piala FA musim ini.

Sebelum ini, Stadium Perak yang memulakan kerja menaiktaraf pada November tahun lepas menelan kos pengubahsuaian bernilai RM20 juta.

Menurut Abdul Puhat, kerja menaiktaraf itu melibatkan kemudahan stadium yang dibina pada tahun 1965 itu termasuk pertukaran sejumlah 29,000 kerusi di bahagian tempat duduk awam yang dicat dengan warna negeri Perak.

Selain itu, orang ramai juga berpeluang untuk menggunakan kemudahan surau yang dapat menampung lebih ramai bilangan jemaah, bilik persalinan pemain dan menaiktaraf keadaan padang dan trek.

Sepanjang lima bulan kerja menaiktaraf stadium, Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut menjadi gelanggang utama skuad Perak sebagai gelanggang tuan rumah.