IPOH – Kerja-kerja pengubahsuaian Stadium Perak yang akan menjadi lokasi utama penganjuran SUKMA ke-19 pada September ini kini sudah berada di peringkat akhir.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk SUKMA Perak 2018, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata kerja pengubahsuaian itu yang menelan belanja RM20 juta bakal diserahkan pada minggu ini.

Abdul Puhat yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata pengubahsuaian yang melibatkan kerja menaik taraf kemudahan stadium termasuk pertukaran sejumlah 29,000 kerusi di bahagian tempat duduk awam yang dicat dengan warna yang beridentitikan negeri Perak, kemudahan surau yang dapat menampung lebih ramai bilangan jemaah, bilik persalinan pemain dan menaiktaraf keadaan padang dan trek.

“Jawatankuasa menjangkakan akan menerima slip pengesahan sijil berkaitan standard kemudahan Stadium Perak daripada persatuan Olahraga Dunia dalam minggu ini ,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media Lawatan ke Venue Pertandingan SUKMA ke-19 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Menurut Puhat, SUKMA-19 yang akan berlangsung pada 12 sehingga 22 September itu akan dirasmikan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah manakala upacara penutup disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak

“Dijangka dari segi kehadiran tidak kurang dari 30,000 orang akan memenuhi stadium ini untuk kedua-dua acara pembukaan dan penutup.

Katanya Stadium Perak akan menjadi lokasi utama bagi semua acara olahraga dan acara sukan terbuka dan tertutup.

Ia juga sedang dipertimbangkan untuk menjadi lokasi bagi pertandingan akhir bola sepak SUKMA nanti namun bergantung kepada tarikh perlawanan akhir dan tarikh penutup temasya tersebut, katanya.

Kata beliau keseluruhan atlet dan pegawai yang terlibat adalah berjumlah 11,000 namun yang akan tertumpu di sini ialah seramai 4,000 yang melibatkan antaranya sukan renang, gimnastik, gimrama, badminton dan sebagainya.

“Kita mendapat kerjasama yang cukup baik daripada pihak kontraktor, daripada pihak Majlis Bandaraya Ipoh, Jabatan Kerja Raya dan sebagainya. Kerja-kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan dapat dilaksanakan dalam tempoh yang telah ditetapkan,” tambah Abdul Puhat.

Pada perkembangan sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, untuk fasa pertama pengubahsuaian gerai makanan telah pun selesai dan kebanyakannya telah beroperasi seperti biasa.

“Setakat ini , 35 peniaga asal telah dibenarkan masuk dan beroperasi, jadi masih ada 35 lagi peniaga yang masih menunggu difasa kedua siap.

“Kemungkinan besar semasa SUKMA tempoh operasi akan dipanjangkan sesuai untuk kemudahan para atlet dan orang ramai,” ujar beliau.

Tambahnya, bagi acara SUKMA Perak 2018, hanya peniaga yang berlesen sahaja dibenarkan berniaga di sekitar kawasan stadium ini, dan ianya terkawal.