PUTRAJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjaya membangunkan standard baharu pengujian asid deoksiribonukleik (DNA) khinzir.

Menterinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, standard yang dibangunkan Jabatan Standard Malaysia itu dikenali sebagai ‘MS2627:2017 Pengesanan DNA porcine – kaedah ujian – makanan dan produk makanan’.

Beliau berkata, standard itu akan memberi keyakinan kepada rakyat terhadap ujian makmal yang dijalankan untuk memastikan produk bebas daripada DNA khinzir dan dapat digunakan tanpa was-was.

“Standard ini dibangunkan untuk menyeragamkan kaedah pengujian DNA khinzir yang sebelum ini menggunakan kaedah analisis, peralatan dan pelaksa­naan juruanalisis yang berbeza bagi setiap makmal,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

-Kosmo!