PETALING JAYA: Kawan rapat bekas ratu cantik Rusia yang diceraikan Sultan Muhammad V mencabar Sultan Kelantan itu menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkan status anak yang dilahirkan Rihana Oksana Gorbatenko, lapor Daily Mail.

Menurut Liliya Nastaeva, ibu bapa, kawan-kawan dan keluarga Oksana sedang menunggu permohonan maaf terbuka daripada Sultan Muhammad.

“Dan jika (bekas Agong) mempunyai kecurigaan, maka dia boleh melakukan ujian DNA. Oksana, bagi pihaknya, bersedia untuk ini, saya boleh beritahu anda kerana saya temannya yang paling rapat.

“Jika Oksana menunjukkan wajah anaknya, tiada siapa yang akan meraguinya, kerana bapa dan anak memiliki wajah yang serupa,” kata yang turut menyertai pertandingan ratu cantik Rusia.

Baru baru ini, Sultan Muhammad mendedahkan baginda bercerai talak 3 dengan Rihana selepas meragui status kelahiran anak itu.

Peguam yang mewakili Sultan Muhammad mengesahkan beliau menceraikan Oksana talak 3 pada 22 Jun di hadapan 2 orang saksi seperti ditetapkan oleh undang-undang syariah.

Koh Tien Hua dilaporkan berkata tiada bukti kukuh menunjukkan baginda bapa biologi kepada anak yang lahir pada Mei lalu sebelum mereka bercerai.

Oksana bagaimanapun menafikan penceraian itu dengan berkata: “Saya tidak mendengar ‘talak’ dilafazkan terhadap saya. Saya berada di Rusia bersama anak saya. Kami tidak berhenti di Singapura untuk bercerai.

Sementara itu, Peguam Oksana Evgeny Tarlo dipetik sebagai berkata keraguan yang dibangkitkan Sultan Muhammad tidak masuk akal dan mencabar peguam yang mewakili bekas Agong itu membuktikan dakwaan berkenaan.

“Saya tidak kenal siapa Koh Tien Hua dan apa hak dia komen mengenai kehidupan peribadi Oksana, lagi pun dia tidak mempunyai kredibiliti mencampuri urusan keluarga Rihana.

“Tiada sebarang penceraian berlaku antara Rihana dan suaminya, saya dengan penuh bertanggungjawab boleh memberitahu perkara ini,” katanya.