Oleh: Aida Aziz 
MANJUNG: Pelancaran bazar BantuNita Ladies Lane di daerah ini disifatkan tepat pada masanya apabila Pulau Pangkor diumumkan sebagai pulau bebas cukai menerusi Bajet 2018.
Pengisytiharan itu memberi manfaat kepada para peniaga di sekitar Manjung dan Pulau Pangkor yang sememangnya sinonim sebagai kawasan tumpuan pelancong, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim.
“Perdana Menteri telah mengisytiharkan Pulau Pangkor sebagai bebas cukai yang mana Menteri Besar Perak perjuangkan cadangan ini cukup lama dan akhirnya tercapai.
“Manjung yang berhampiran dengan Pangkor akan menerima tempias kerana barangan akan menjadi lebih murah dan pelancong akan bertambah, kesempatan ini wajar direbut oleh para peniaga bazar Ladies Lane di sini,” ujar Rusnah.
Beliau berkata demikian di majlis Pelancaran Ladies Lane@Manjung di sini, semalam.
Hadir sama, isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli selaku Yang DiPertua BAIDURI dan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, Datin Zuraini Abdul Rahman.
Rusnah menambah, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan bazar BantuNita Ladies Lane di Pulau Pangkor pula, untuk memastikan kelebihan sebagai pulau bebas cukai digunakan sebaiknya.
“Kita akan berusaha untuk menjadikan Pulau Pangkor lebih baik daripada Langkawi. Diharapkan tapak niaga di sini menjadi langkah permulaan kepada peniaga wanita lebih maju di masa hadapan,” katanya.
ladieslane-manjung
Sementara itu, Saripah menjelaskan, bazar itu merupakan yang keempat selepas Ipoh, Kuala Kangsar dan Slim River dengan kesemua peniaganya terdiri dari kaum wanita.
“Konsep Ladies Lane khusus untuk membantu golongan wanita mencari sumber pendapatan serta memperkenalkan produk sendiri.
“Pemilihan 40 peserta di tapak perniagaan ini akan disaring dengan teliti bagi memastikan mereka benar-benar layak,” ujarnya.
Ladies Lane memudahkan para peniaga dengan konsep penyediaan tapak dan gerai disediakan tanpa sebarang bayaran, malah jawatankuasa yang terbabit turut membantu dari sudut pemasangan gerai jualan.