IPOH: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan akan mengadakan perbincangan bersama dengan pihak KTMB bagi menaikkan semula nilai estetika bangunan stesen keretapi Ipoh yang kini mencecah 100 tahun.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata cadangan untuk membaikpulih dan menghidupkan semula stesen keretapi yang merupakan warisan negara itu adalah signifikan dengan sambutan seabad bangunan bersejarah tersebut.

Katanya, perbincangan terperinci dan lanjut bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan dilaksanakan sesuai dengan sasaran untuk meningkatkan kadar kemasukan pelancong ke Perak.

“Saya telah berhubung dengan KTMB, dan masih tidak terlambat untuk memperbaiki bangunan warisan, penuh kolonial dan mercu tanda bandaraya Ipoh kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Kempen Travel, Visit dan Stay Green yang dijayakan bersama oleh KTMB dan The Haven Residence, Ipoh di The Haven Ballroom, pada petang Jumaat.

Nazri berkata, beliau masih dapat merasai nostalgia menikmati hidangan ala Barat dengan aneka menu pilihan yang tersedia di restoran stesen keretapi Ipoh satu masa dahulu, justeru tidak mustahil untuk ia kembali dirancakkan.

Sementara itu, Pengurus Besar (Perolehan) KTMB, Mohd Hider Yusoff berkata, pihaknya mensasarkan jumlah pembelian tiket keretapi akan meningkat sebanyak 50 peratus berbanding ketibaan hari biasa.

“Kempen ini akan bermula dari 8 Mei sehingga 8 November selama enam bulan di mana sekurang-kurangnya 100 pembeli tiket bertuah akan dapat menginap di kondo lima bintang bertaraf dunia dengan hanya RM88.80, untuk sebuah bilik berharga RM1,500.00.

“Pembeli hanya perlu merujuk nombor tiket dan sekiranya penghujung nombor adalah 888 maka mereka layak mendapatkan ganjaran itu,” ujarnya.

Jelasnya, inisiatif yang dilancarkan selaras dengan Perjanjian The Haven-KTMB pada tahun 2015 untuk menyemai nilai serta konsep hijau dijangka dapat meningkatkan bilangan kemasukan pelancong sebanyak 6,000 sehari, berbanding 4,000 pada kebiasaannya.