IPOH – Sebuah stor barang-barang lusuh musnah terbakar 30 peratus dalam satu kebakaran di Hala Falim 9, Taman Mas Jaya, di sini, awal pagi tadi.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.11 pagi dan menghantar sepasukan anggota ke lokasi.

“Sebaik tiba, didapati sebuah stor penyimpanan barang-barang lusuh kelas C berdindingkan zink berukuran 60 kaki x 60 kaki telah terbakar sebanyak 30 peratus.

“Api sedang marak membakar longgokan pakaian yang berada di dalam stor tersebut dan tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan,” ujar beliau ketika dihubungi.

Anggota telah membuat pemadaman menggunakan dua aliran 200 kaki empat pancutan bersumberkan air dari tangki jentera sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Abd Rahman Abdullah dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.29 pagi.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.