PARIT BUNTAR – Sebuah stor simpanan peralatan pertanian yang menempatkan sebuah jentani di Parit Tok Ngah, Bagan Tiang, di sini, musnah dalam kebakaran malam tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar, Penolong Bomba Kanan I, Ahmad Rossyed Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 11.29 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pihaknya turut dibantu sepasukan anggota dan jentera dari BBP Kuala Kurau serta Pasukan Bomba Sukarel (PBS) Bagan Tiang.

“Setibanya di lokasi, api marak membakar stor berkeluasan 20 kaki X60 kaki yang menempatkan sebuah jentani.

“Kebakaran menyebabkan stor itu musnah 70 beratus bersama jentera dan peralatan yang ditempatkan di situ.

“Bomba yang turut dibantu oleh pasukan BBP Kuala Kurau dan PBS Bagan Tiang bertindak memadamkan kebakaran menggunakan air dari tangki jentera dan pam angkut yang bersumberkan air dari parit berhampiran,” katanya kepada media di sini hari ini.

Ahmad Rossyed berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

“Operasi tamat pada jam 12.15 tengah malam tadi dan tidak melibatkan sebarang kecederaan atau pun kemalangan jiwa.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya – sinar