IPOH: Ini bukan pengakhirannya, itulah antara komen Loh Siew May sebaik sahaja ditemui oleh Suara Perak selepas mengambil keputusannya yang dianggapnya kurang memuaskan.

Anak jati Ipoh itu merupakan salah seorang daripada 4,133 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 di Perak yang menerima keputusan hari ini.

Sambil tersenyum, Siew May yang memegang slip keputusan STPM itu juga beramah mesra dengan rakan-rakannya yang turut mengambil keputusan masing-masing, semua mereka kelihatan begitu ceria.

“Ada subjek gagal, ada subjek dapat A, saya harapkan lebih baik tetapi inilah titik peluh dan usaha sendiri, saya yakin tidak patut putus asa kerana masih ada masa dan peluang masa depan, saya percaya,” katanya kepada Suara Perak.

Siew May, merupakan pemain sukan polo air yang bakal mewakili Malaysia bagi saringan akhir Sukan SEA yang akan berlangsung di Thailand pada April depan.

Beliau yakin, dengan keputusan STPM itu, masih ada peluang untuknya melanjutkan pengajian ke universiti awam atau swasta.

Kini, gadis peramah itu mahu menumpukan sepenuh perhatiannya untuk berlatih bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) serta pemilihan atlit Sukan SEA peringkat akhir dalam masa terdekat.

“Ini bukannya satu-satunya tiket saya untuk masa depan, saya yakin rakyat Malaysia dilatih untuk memahami cabaran sebenar di luar sana, akademik itu penting dan wajar diteruskan, namun untuk patah semangat di atat pencapaian ini, tidak pernah terlintas di fikiran saya,” katanya sambil mendapat sokongan daripada rakan-rakannya.

Lebih mengharukan, rakannya, Lee Wen Sheng, 20, yang mendapat keputusan 4.0 dalam STPM 2016 mempunyai pesanan cukup ringkas dan penuh inspirasi kepadanya dan kawan-kawan lain.

Wen Sheng yang tidak putus-putus mendapat ucapan tahniah kerana tersenarai antara 68 calon STPM yang mendapat PNGK 4.0 di Perak turut memberikan motivasi kepada rakannya.

“Jangan berputus asa, lihat ke depan dan buat apa yang anda suka, capai cita-cita anda dan letakkan sepenuh hati untuk matlamat tersebut, saya pasti usaha itu akan memberi hasil yang berbaloi,” katanya.

Semua mereka yakin bahawa proses pembelajaran tidak akan terhenti hanya dengan sekeping sijil, sebaliknya ia merupakan titik permulaan untuk mereka menguatkan semangat bagi terus melangkah.

f65375fa-6f95-4566-a854-c00e69635e09

fe430869-c3fc-4631-833e-3afdbf29866e