IPOH-Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpandangan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands semalam memberi gambaran bahawa pentingnya PH memastikan lebih ramai pengundi keluar mengundi.

Ujarnya lagi, faktor peratusan keluar mengundi yang rendah mungkin disebabkan tidak ada rasa kepentingan bagi pengundi keluar mengundi pada PRK, seterusnya mengakibatkan kekalahan calon PH kepada Barisan Nasional (BN).

“Saya percaya keputusan yang dibuat semalam ialah satu gambaran pentingnya PH pastikan lebih ramai pengundi keluar mengundi.

“Saya secara peribadi berpandangan strategi meletakkan calon itu adalah amat penting bagi memastikan satu-satu kemenangan.

“Zaman sekarang ini saya fikir, individu atau calon itu penting selain dari mana parti yang beliau mewakili,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan NGO-NGO Prihatin Perak sempena Ipoh Car Free Day di sini pada Ahad.

Keputusan PRK Cameron Highlands semalam menyaksikan calon PH, M Manogaran tewas kepada Ramli Md Nor dari parti BN.

BN berjaya mempertahankan kerusi parlimen itu selepas calonnya memperoleh 3,238 undi majoriti atau 12,038 undi keseluruhan daripada 89 saluran undi.

Manogaran serta dua calon bebas, bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee yang juga petani tempatan masing memperoleh 8,800 undi, 314 undi dan 276