Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Kesuraman suasana di Tebingan Sungai Kinta atau Kinta Riverfront yang suatu ketika dahulu amat meriah sebagai kawasan tumpuan awam, kembali diceriakan dan “hidup” dengan acara-acara Temasya Idea Perak 2017 (PFOI2017) yang bermula 6 September lalu.

Tinjauan Suara Perak mendapati beberapa aktiviti pameran yang mengetengahkan hasil kreativiti, kesenian dan budaya termasuk kraftangan masyarakat tempatan, telah menjadikan Tebingan Sungai Kinta kembali meriah dan dipenuhi pengunjung.

Pada hari ketiga berlangsungnya PFOI 2017, program Street Art Bazaar yang berlangsung di Kinta Riverfront Walk telah menarik peminat-peminat industri seni kreatif untuk melawat bazar seni yang menjual dan mempamerkan hasil kerja masing-masing.

stree-art-baazar 2

Kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di bazar seni jalanan itu turut menyumbang kepada kemeriahan tersebut malah menyaksikan beliau mengambil masa berkunjung dan beramah mesra dengan para peniaga di gerai-gerai jualan di situ.

Kehadiran Dr Zambry turut diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Bazar seni jalanan itu yang dianjurkan bersama Tourism Perak dan Koloni Karyawan Amanjaya (PORT), menyediakan 23 gerai yang dikendalikan oleh pelukis dan pengkarya seni yang mempamerkan dan menjual hasil karya masing-masing.

Selain pameran dan jualan, turut diadakan ialah aktiviti melukis karikatur dan demonstrasi mencanting batik serta seni laser dan pertandingan melukis inai.

Street Art Bazaar dibuka dari jam 2 petang hingga 10 malam bermula semalam sehingga Ahad ini.