PRK RANTAU | Calon PH Dr S Streram di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau menafikan beliau terlibat dalam skandal Yayasan Usaha Ventures yang didakwa menipu lebih 21,000 pelabur melibatkan RM80 juta.

Streram mendakwa yayasan tersebut ‘dirampas’ daripadanya tanpa pengetahuan sebelum ia didedahkan sebagai terlibat dalam penipuan wang hampir RM80 juta.

“Saya tidak ingat bila diwujudkan. Sudah lama. Kalau nak jujur yayasan itu tidak aktif sangat. Kami hanya membuat kerja-kerja amal menggunakan yayasan tersebut.

“Tetapi, saya terkejut apabila pada 2016, bekas setiausaha agung (MIC) saudara Vell Paari mendedahkan bahawa dua orang individu menggunakan yayasan tersebut menipu orang awam hampir RM80 juta,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi berkenaan skandal tersebut

Tambahnya, ketika itu beliau menghubungi Vell Paari untuk memberitahu bahawa yayasan tersebut adalah miliknya.

“Namun, pencarian di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mendapati bahawa pengarah-pengarah yayasan tersebut ditukar tanpa pengetahuan kami.

“Maka, saya maklum balik kepada saudara Vell Paari,” katanya.

Susulan itu, beliau menjelaskan Vell Paari membantu beliau mendapatkan peguam MIC untuk membuat laporan di Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sejak semalam, tular hantaran di media sosial mendakwa Streram terlibat dalam skandal penipuan wang RM80 juta melibatkan dua individu (suami dan isteri) yang didedahkan oleh Vell Paari pada tahun 2016.

“Maka, mengaitkan saya dengan skandal ini sangat lucu. Yang bekerjasama dengan saya pada masa itu ialah saudara Vell Paari dan peguam-peguam MIC.

“Sekarang, laskar siber BN pula tuduh saya macam-macam. Ini cuma satu percubaan mencemarkan kredibiliti saya,” kata Streram.

PRK DUN Rantau, Sabtu ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Dr S Streram, calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan dan dua calon Bebas, suri rumah, R Malarvizhi dan bekas pensyarah, Mohd Nor Yassin – Malaysia kini