Seorang lelaki berusia 54 tahun dari Kasugai, Jepun ditahan baru-baru ini selepas dia mengaku menikam diri sendiri di bahagian pinggul supaya boleh memonteng kerja.

 

Sebelum ini, dia membuat laporan polis bahawa seorang lelaki tidak dikenali secara tiba-tiba menyerangnya dengan pisau.

Kerana mahu ponteng kerja pada 22 Februari lalu, lelaki berusia 54 tahun itu bertindak menikam bahagian pinggulnya menggunakan pisau dapur ketika di bilik air di stesen keretapi di Kasugai.

Dia kemudian menelefon polis dan memberitahu dia telah diserang.

Apabila polis tiba di tempat kejadian, mereka mendapati lelaki berkenaan cuba menghentikan pendarahan di bahagian pinggul.

Menurut laporan yang dibuat, lelaki berkenaan berkata dia sedang membuang air kecil apabila secara tiba-tiba seorang lelaki tidak dikenali menikamnya di bahagian belakang sebelum berlalu pergi.

Polis kemudian mula menyoal lelaki lagi berkenaan kejadian dan akhirnya temberang lelaki itu pecah apabila polis menemui sesuatu yang meragukan di dalam laporannya.

Selepas digesa oleh polis, lelaki tersebut mengakui dia mengalami stress di tempat kerja dan berfikir dengan menikam dirinya sendiri mampu menjadi alasan bagi mendapatkan ‘cuti’ sekurang-kurangnya sehari.

-Terbakor!