NELAYAN yang dilaporkan hilang dipercayai terjatuh ke laut ketika memasang pukat dekat Kampung Hulu Semarang, Saratok, ditemui lemas pagi tadi.

Mayat mangsa, Yunus Morni, 58, ditemui terapung oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 10 kilometer dari pusat kawalan bomba (PKB) pada 9.30 pagi.

Bagaimanapun, isteri mangsa, Zahara Hamzah, 54, yang dikatakan bersama suaminya ketika keluar ke laut semalam, masih gagal dikesan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, SAR diaktifkan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu, semalam.

Beliau berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikerah ke lokasi dan bersama anggota polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung melancarkan usaha mencari kedua-dua mangsa di kawasan berdekatan bot mereka ditemui.

“Pasangan suami isteri itu dikatakan keluar ke laut untuk memasang pukat pada waktu subuh semalam (Rabu).

“Kehilangan mereka disedari selepas seorang lagi nelayan iaitu Madihi Rahmat, menemui bot pasangan itu hanyut dengan pukat dalam keadaan bersedia untuk dilabuhkan ke laut, namun kedua-dua mangsa tiada di dalam bot,” katanya.

Berikutan penemuan bot itu, Madihi segera memberitahu penduduk kampung yang lain kerana percaya pasangan terbabit terjatuh ke laut.

Jurucakap JPBM itu berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Betong untuk dibedah siasat manakala gerakan SAR diteruskan bagi mengesan isterinya – hmetro