PETALING JAYA: Satu pasangan suami isteri berhadapan situasi mencemaskan apabila diserang oleh seorang lelaki sebelum melarikan kenderaan mereka di hadapan sebuah kedai serbaneka di Aman Suria, di sini, Isnin lalu.

Kejadian itu berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) dan kemudian turut tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata sebelum menyerang pasangan suami isteri terbabit, suspek terlebih dahulu menyerang seorang pekerja kedai serbaneka warga Bangladesh ketika cuba menyamun wang daripada kaunter.

“Kejadian berlaku pada jam 9.30 pagi, ketika cuba mendapatkan wang daripada kaunter, suspek menetak pekerja kedai serbaneka itu menggunakan sebilah parang.

“Ketika itulah juga lelaki berusia 30 tahun yang memandu kereta jenis Honda City itu masuk ke kedai, sementara isterinya menunggu di dalam kereta.

“Suspek kemudian menetak lelaki berkenaan dan merampas kunci kereta miliknya, mangsa yang cedera kemudian melarikan diri ke dalam stor namun apabila menyedari keretanya cuba dilarikan, mangsa bersama isterinya bertindak menyerang suspek.

“Suspek kemudian berjaya masuk ke dalam kereta dan cuba memandu meninggalkan lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Zani berkata, isteri kepada lelaki yang ditetak cuba menghalang suspek masuk ke keretanya tetapi bertindak keluar selepas menyedari cubaannya gagal.

Katanya, hasil semakan motosikal yang digunakan suspek dipercayai motosikal curi.

“Mangsa yang cedera di bahagian muka dan tangan kanan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan sementara isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Sementara pekerja warga Bangladesh hanya mengalami kecederaan ringan, calar di bahagian lengan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya – berita harian