KLANG: Pasangan suami isteri cedera selepas dilanggar sebuah kereta yang terbabas ketika makan di tempat meletak kenderaan sebuah restoran di Jalan Bayu Tinggi, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa berusia 50 tahun itu cedera pada tangan manakala isterinya yang berusia 44 tahun cedera pada kepala, tangan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu wanita berusia 24 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari arah Sepang ke Pelabuhan Klang.

“Ketika membelok masuk ke kawasan lot kedai, wanita ini mendapati sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti secara tiba-tiba berada di hadapan keretanya.

“Wanita ini kemudian panik dan membelok ke kanan untuk mengelak kenderaan berkenaan.

“Namun, ketika cuba mengelak, pemandu wanita ini melanggar pasangan suami isteri yang sedang makan di kawasan tempat letak kenderaan di sebuah restoran sebelum menaiki pembahagi jalan melanggar besi penghadang,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Manipal, di sini, untuk rawatan dan pemandu itu kemudian tampil membuat laporan polis di Balai Trafik Klang Selatan, di sini.

Shamsul Amar berkata, pihaknya mengambil keterangan pemandu itu bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, pihaknya juga akan memaklumkan kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) supaya mengambil tindakan terhadap pemilik restoran – berita harian