IPOH: Sepasang suami isteri dipercayai dalang utama sindiket pemerdagangan manusia di Pengkalan Hulu dekat Gerik, kira-kira 170 kilometer dari sini, ditahan reman selama enam hari mulai Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata perintah tahanan reman terhadap kedua-dua suspek berumur 43 dan 24 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 13 dan 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Gan berkata 18 warga tempatan termasuk lima kanak-kanak dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia diselamatkan dalam operasi di daerah Kecil Kroh, Belukar Semang, Kampung Tasek dekat Pengkalan Hulu, awal pagi Ahad.

“Mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 11 dewasa melibatkan enam wanita berusia lingkungan 27 hingga 64 tahun, dua remaja lelaki berumur 13 dan 17 tahun serta lima kanak-kanak berusia antara dua dan tujuh tahun,” katanya.

Beliau berkata kesemua mangsa mendapat perintah perlindungan sementara mulai Isnin hingga 19 Mac depan, dan mereka ditempatkan di rumah perlindungan di Rembau, Negeri Sembilan; Subang Jaya, Selangor; Johor Bahru dan Tanjung Keling, Melaka.

“Seorang mangsa lelaki menemani anaknya yang sedang mendapatkan rawatan di hospital dan permohonan perintah perlindungan sementara ke atas dua beranak itu akan dilakukan setelah selesai rawatan,” katanya. – BERNAMA