KLANG: Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menyamar sebagai Datuk Seri dan Datin Seri di sekitar daerah ini, 17 Mac lalu.

G Kumara Guru, 29, dan S Nishanthini, 28, yang dituduh di mahkamah berasingan bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Terdahulu, Kumara Guru, didakwa di hadapan Majistret Solehah Noratikah Ismail atas pertuduhan menipu dua anggota polis dengan menyamar sebagai Datuk Seri bagi mempercayai sesuatu yang tidak wujud.

Tertuduh yang berkerja sebagai peniaga sayur turut didakwa menghalang tugas anggota polis dengan cara enggan memberikan kerjasama ketika diperiksa selain menggunakan kekerasan jenayah terhadap polis.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di Persiaran Batu Belah di sini, kira-kira jam 6.30 pagi, 17 Mac lalu.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman atas dakwaan berkelakuan aib dan kurang sopan dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis di lokasi dan waktu sama.

Kesalahan itu diperuntukkan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Nishanthini, pula didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi kerana menyamar sebagai Datin Seri dengan meletakkan gelaran itu pada kad perniagaan dan akaun Facebook miliknya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali, Amira Abd Aziz dan Tan Chiew King, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Gerrard Lazarus.

Mahkamah membenarkan kos ikat jamin mereka masing-masing RM10,500 dan RM7,000. Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 April dan 8 Mei depan – berita harian