IPOH: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan menipu dengan menukar tanda harga barangan di sebuah pasaraya di Falim, Jumaat lalu.

Sadam Abdullah, 57, dan Siti Aishah Abdullah , 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Salwa Ja’afar.

Sadam dan Siti Aishah dituduh menipu juruwang Nur Ayuni Hishammuddin, 22, dengan menukar tanda harga tilam bayi jenama c. cbhausn pe fold daripada harga RM233 kepada RM26.90 di pasaraya AEON BIG Falim di sini jam 11.17 pagi, 7 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana menipu yang boleh dipenjara maksimum lima tahun atau boleh didenda atau kedua-keduanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh diwakili peguam Raja Mohd Iskandar Zulkarnain Raja Abdul Malek.

Siti Salwa kemudiannya menetapkan masing-masing dikenakan ikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan 3 Mei ini sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen.