GERIK: Sepasang suami isteri maut manakala anak mereka parah dalam kemalangan di Jalan Lenggong-Gerik, dekat Kampung Malau, di sini, awal pagi Ahad.

Selain itu, dua yang lain turut cedera dalam nahas membabitkan dua kereta dan sebuah lori yang membawa set generator, kira-kira jam 1.30 pagi.

Keshvinder Singh dan isterinya, Rajkaur, 40-an, yang menaiki Perodua Myvi maut manakala anak mereka yang duduk di belakang parah.

Difahamkan, dua yang cedera ialah penumpang Honda City termasuk bayi 2 tahun, manakala tiga lagi di dalam kenderaan berkenaan selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Azizul Aswad Asaris, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.37 pagi.

Menurutnya, tujuh anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati dua mangsa tersepit dalam Perodua Myvi.

Beliau memberitahu, anggota bomba memerlukan kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang sudah maut ketika itu.

“Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gerik. Mangsa yang parah dan cedera juga dibawa ke hospital sama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Jamalani Mohd Isa mengesahkan kejadian dan masih menjalankan siasatan.