BOTA: Sepasang suami isteri maut selepas kenderaan yang mereka naiki hilang kawalan lalu terbabas dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Bota Kanan-Parit pada petang Khamis.

Dalam kejadian sekitar 1.30 tengahari itu, Iman @ Othman Ahmad, 78, dan Asah Hashim, 67, yang menetap di Gelung Pepuyu, Bota, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohd Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kenderaan jenis Perodua Kelisa sedang menghala ke Bota Kanan dari arah Parit sebelum terlibat dalam insiden berkenaan.

d5a4b9bd-6870-4fdd-9333-0260aeb7ed33

“Sesampainya di tempat kejadian, kenderaan mereka hilang kawalan lalu terbabas ke bahagian kanan jalan dan masuk ke dalam parit.

“Mangsa telah dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Beliau memberitahu, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Changkat Melintang bagi tujuan bedah siasat.

“Siasatan mendapati kedua-dua mangsa warga emas itu tidak bekerja dan kes akan disiasat secara lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi.