KUANTAN: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini terhadap 18 tuduhan pecah amanah berjumlah RM2,926 terhadap jiran mereka, Februari lalu.

Pengakuan Ramlee Abdullah, 57, dan Haspalela A Rahman, 51, direkodkan di dua mahkamah berasingan di depan Majistret Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat dan Majistret Nurunaim Abdullah.

Pasangan dari Kempadang, di sini yang mengusahakan kedai runcit itu didakwa melakukan pecah amanah sejak 10 Februari hingga 1 April lalu, terhadap mangsa yang juga jirannya, Fadzilah Mohamad, 41, di No 1 Blok A Kiosk Perumahan Pak Mahat dan di mesin juruwang automatik (ATM) di stesen minyak Petronas di bandar Kuantan, di sini.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka sebagai orang yang diamanahkan dengan harta iaitu sekeping kad ATM Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama mangsa dengan niat bersama melakukan pecah amanah termasuk dengan cara membuat pembayaran pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia atas nama Haspalela.

Bagi kesalahan yang dilakukan terhadap 16 transaksi dan dua lagi di mesin ATM berjumlah antara RM6 hingga RM400, kedua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, sebatan dan denda.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Haryati Abdullah memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan diberikan terhadap tertuduh kerana dikhuatiri akan mengganggu mangsa yang tinggal di kawasan perumahan yang sama.

“Terdapat tiga laporan polis berkaitan mangsa dan kedua-dua tertuduh iaitu pada 18 April lalu yang mana mangsa mendakwa tertuduh mengganggu beliau dan mengambil bekalan makanan yang didermakan orang ramai untuk diletakkan di kedai runcit yang diusahakan Ramlee.

“Seorang anggota polis juga membuat laporan pada 24 Mei lalu kerana memberikan amaran kepada tertuduh selepas mangsa meminta bantuan polis untuk ke rumahnya kerana diganggu dan laporan terakhir mangsa ialah semalam di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang mana dia kini menjalani rawatan kerana trauma,” katanya.

Bagaimanapun, peguambela, Datuk Zaharman Zainal Abidin memohon mahkamah membenarkan jaminan dan berkata anak guamnya bersedia jika mahkamah menetapkan syarat supaya mereka tidak mengganggu mangsa, selain faktor mereka memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan.

“Anak guam saya juga adalah orang yang menjaga kebajikan mangsa selepas kematian suami dan hubungan mereka akrab seperti keluarga. Malah jika mangsa sakit sebelum ini, anak guam saya yang membawanya ke hospital,” katanya.

Zaharman menambah Ramlee yang mengusahakan kedai runcit secara kecil-kecilan hanya memperoleh pendapatan sekitar RM1,200 sebulan yang digunakan untuk menanggung Haspalela dan empat orang anak mereka termasuk seorang yang masih bersekolah di tingkatan empat.

Bagaimanapun, kedua-dua Majistret tidak membenarkan jaminan diberikan terhadap tertuduh dan menetapkan 27 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula.

Sementara itu, selepas dimaklumkan tiada jaminan dibenarkan, seorang daripada anak mangsa yang hadir di mahkamah meraung dan berlari untuk memeluk ibu bapanya yang dibawa keluar dalam keadaan bergari – berita harian