JOHOR BAHRU: Pemilik sebuah restoran dan isterinya parah ditetak beberapa kali dengan parang oleh seorang penyerang lelaki tidak dikenali dalam kejadian di rumah mereka di Lorong 1, Jalan Rantai 1, Taman Kobena di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, Mohamad Omar, 67, yang juga pemilik Restoran Makanan Laut Remaja dekat Bandar Baru Uda dan isterinya, Masiah Osman, 61, tinggal berdua di rumah itu sebelum didatangi suspek.

Menurut anak lelakinya, Ezwan Haffez, 29, ketika kejadian, bapanya sedang menonton televisyen di tingkat bawah rumah, manakala ibunya di tingkat atas.

“Mak kemudian keluar dari bilik dan ternampak ada orang di tangga sebelum bertindak menjerit dan memanggil ayah. Lelaki itu kemudian dilihat mengangkat parang dan kemudian menyerang ayah yang ketika itu naik ke atas sebaik mendengar jeritan mak.

“Mak cuba menyelamatkan ayah, namun mak pula yang diserang. Lelaki itu kemudian terus menyerang ayah sehingga ke luar rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ezwan berkata, lelaki itu datang seorang diri dan menutup mukanya menggunakan baju yang dipakai selain berseluar pendek.

Katanya, lelaki itu dipercayai masuk ke dalam rumah dengan melalui pintu di beranda luar.

“Setiap malam, mak dan ayah memang berdua di rumah sambil menunggu kepulangan saya dari restoran kerana mereka menjaga restoran pada waktu siang dan saya menjaga restoran pada waktu malam.

“Tiada apa-apa situasi mencurigakan malam tadi, malah kami tidak syak sesiapa pun kerana kami percaya kami tiada musuh.

“Mak dan ayah tidak tahu apa motif mereka diserang kerana jika mahu merompak, mak sudah bertanya kepada lelaki itu apa yang dia mahu, tetapi lelaki itu tidak berkata apa-apa dan hanya bertindak menyerang mereka berdua, malah tidak mengambil sebarang barangan dari rumah, sebelum dia melarikan diri,” katanya.

Ezwan yang kemudian bergegas pulang ke rumah selepas dimaklumkan tentang kejadian itu oleh jirannya, mendapati kedua-dua ibu bapanya berlumuran darah dengan bapanya terbaring di luar rumah.

Katanya, menurut doktor bapanya dipercayai ditetak hampir 10 kali di kepala, selain mengalami tengkorak retak, kedua-dua tangan patah dan kesan tetak di pipi, manakala ibunya terdapat antara tujuh hingga lapan kesan tetakan di kepala dan telinga hampir putus.

“Ayah kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), manakala mak berada di Hospital KPJ Puteri dan kedua-dua mereka dalam keadaan stabil,” katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan tentang kejadian terbabit

Bagaimanapun, katanya, polis masih menunggu laporan penuh dan sedang mengumpul keterangan keluarga dan saksi kejadian – berita harian