PUTRAJAYA: Seorang ketua unit pemasaran dan pembiayaan sebuah bank serta suami isteri direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan terhadap perbuatan memalsukan permohonan pembiayaan, tahun lalu.

Perintah reman sehingga 8 April terhadap pegawai wanita berusia 30 tahun dan suami isteri masing-masing berusia 36 dan 37 tahun itu dikeluarkan Majistret Khir Nizam Jemari di Mahkamah Majistret di sini.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek dibawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke mahkamah pada jam 9.24 pagi dengan tangan bergari serta memakai baju lokap warna jingga.

Ketiga-tiga suspek terbabit ditahan dalam operasi SPRM kira-kira jam 11 pagi, semalam.

Suspek yang berkhidmat di cawangan bank berkenaan di sini, dipercayai menerima rasuah kira-kira RM150,000 daripada pasangan terbabit sebagai balasan membuat perakuan pengesahan majikan palsu bagi meluluskan pembiayaan peribadi, tahun lalu.

Pasangan itu dikatakan bertemu kakitangan bank berkenaan untuk mendapatkan pembiayaan peribadi.

Bagaimanapun, permohonan berkenaan dipercayai tidak lengkap dan ketiga-tiganya berpakat membuat pengesahan palsu bagi memudahkan proses kelulusan.

Siasatan awal mendapati suami isteri terbabit merasuah kakitangan bank itu sebagai balasan kerana membuat perakuan pengesahan majikan untuk membolehkan permohonan pembiayaan itu diluluskan – berita harian