IPOH: Sepasang suami isteri yang juga pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menukar pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pilihan menerima suapan berkaitan urusan pembekalan barangan ke TLDM sejak 2014.

 

Pegawai kawalan Material 3, Depot bekalan Armada TLDM,  Lumut, Leftenan Komander Rozlin Mustafa, 34, mengaku salah atas dua pertuduhan pilihan melibatkan suapan bernilai RM230,011.44.

 

Hakim Mahkamah Sesyen Puan S. Indra Nehru menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan ke atas Rozlin bagi setiap pertuduhan itu.

 

Hakim juga memerintahkan Rozlin menjalani hukuman itu serentak bermula hari ini.

 

Rozlin mengaku salah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima dua suapan daripada ahli perniagaan, Hussin Roslim @ Roslind melalui suaminya menggunakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebanyak RM30,011.44 dan RM200,000.

 

Perbuatan itu dilakukan melalui sekeping kad ATM Affin Bank Bhd. sebagai upah meluluskan kerja-kerja pembekalan bernilai RM1,363,317.95 juta kepada syarikat di mana Hussin mempunyai kepentingan.

 

Suaminya, Leftenan Komander Rizalman Ghazali, 36, dijatuhi hukuman penjara  9 bulan dan denda RM20,000 atau penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan setelah mengaku salah atas empat pertuduhan menerima suapan.

 

Hakim juga memerintahkan hukuman itu dijalankan serentak bermula hari ini.

 

Rizalman mengaku salah atas empat pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah tersebut kerana menerima suapan daripada Hussin bagi pihak isterinya yang meluluskan kerja-kerja pembekalan kepada syarikat-syarikat di mana Hussin mempunyai kepentingan.

 

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Rizalman menerima wang suapan daripada Hussin berjumlah RM175,841.41 dan RM15,000 melalui sekeping kad ATM CIMB Prefered bagi pihak isterinya sebagai upah meluluskan kerja-kerja pembekalan bernilai RM1,279,757.95 juta kepada syarikat di mana Hussin mempunyai kepentingan.

 

Bapa kepada dua cahaya mata itu juga mengaku salah atas dua pertuduhan sama dengan Rozlin iaitu menerima dua suapan daripada Hussin bagi pihak isterinya berjumlah RM30,011.44 dan RM200,000 melalui sekeping kad ATM Affin Bank.

 

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut antara Oktober 2014 dan Januari 2015 di No. 16, Persiaran Venice Intan 5/1, Desa Seri Manjung, Manjung.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Azah Kasran manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam Norhasham Hasan.