JERTIH: Sepasang suami isteri ditahan berhubung kes samun seorang jurujual kereta membabitkan kerugian hampir RM30,000 di Kampung Paya Rawa, dekat sini, kelmarin.

Dua suspek yang berusia 28 tahun itu ditahan polis di sebuah rumah di Jertih kira-kira jam 6.30 petang hari sama.

Selain menahan dua suspek, polis turut merampas kereta Perodua Myvi yang dilarikan sebelum ini, kereta Honda Civic Ferio, dua telefon bimbit dan beberapa barangan lain.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila lelaki berusia 21 tahun sedang berurusan dengan lelaki dikenali sebagai Mey untuk urusan jual beli kereta Perodua Myvi kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Beliau berkata, mangsa yang sedang berurusan dengan suspek tiba-tiba didatangi dua lelaki menaiki dua kereta jenis Nissan Grand Livina dan Proton Saga.

“Suspek yang memakai topeng serta bersenjatakan sebilah pedang dan objek yang menyerupai pistol mengarahkan mangsa menyerahkan wang RM15,000 di dalam beg plastik.

“Mangsa akur dengan arahan sebelum dua suspek melarikan diri manakala mangsa ditarik masuk ke dalam kereta Honda Civic Ferio milik Mey.

“Pada masa sama, Mey pula memandu Perodua Myvi yang ingin dibelinya sebelum ini dan mangsa ditinggalkan di kawasan berhampiran sebuah stesen minyak di Tok Bali, Kelantan,” katanya.

Mohd Zamri berkata, gerakan memburu suspek giat dijalankan susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Kampung Raja.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek lelaki yang positif dadah jenis methamphetamine mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan Akta Racun 1952 manakala isterinya mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah sebelum ini.

“Hasil soal siasat, pasangan terbabit mendakwa tidak mengenali dua lagi suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti mereka termasuk kaitan sama ada pasangan itu mengenali dua suspek terbabit atau sebaliknya.

“Dua suspek kini direman selama enam hari sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata – berita harian