Sepasang suami isteri warga Indonesia maut selepas motosikal ditunggang bergesel dengan sebuah lori pasir sehingga menyebabkan mereka terjatuh lalu digilis kenderaan berat tersebut berdekatan simpang empat lampu merah Shell, Tapah pada pagi Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri Supt Wan Jamil Wan Chik berkata dalam kejadian jam 7.50 pagi itu penunggang, Nor Hasan,51 dan pembonceng Siti Aishah,37 maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah.

“Kedua-dua kenderaan menuju ke arah Temoh, apabila tiba ditempat kejadian kedua-dua kenderaan berhenti di simpang lampu isyarat tersebut kerana lampu isyarat sedang merah.

“Apabila lampu bertukar hijau kedua-dua kenderaan telah bergerak secara serentak dan berlaku pergeseran di bahagian sisi kiri lori itu menyebabkan motosikal terbalik dan dipercayai penunggang serta pembonceng telah di gilis.

“Siasatan awal mendapati si suami bekerja sebagai tukang rumah manakala isterinya pula pekerja kedai makan dan kedua-dua mempunyai pasport,” katanya.

Tambah beliau ekoran daripada kejadian itu, pemandu lori pasir tanpa muatan tersebut, Wan Zaini Wan Deris,49, telah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.