PERMAISURI: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi koma setelah diserbu sekumpulan lembu ketika melalui kawasan Merang, berhampiran stesen minyak Petronas kira-kira jam 2 petang, semalam.

Difahamkan mangsa, Anuar Abd Rahim, 49, yang menunggang motosikal Ducati Diavel dan berasal dari Kuala Lumpur bersama 20 lagi peserta konvoi dalam perjalanan dari Batu Rakit, Kuala Terengganu menghala ke arah Penarik, Setiu untuk menikmati makan tengahari.

Isteri mangsa, Dewi Rosita Abdul Rahim, 48, berkata, sewaktu kejadian dia berada pada jarak 10 meter di hadapan mangsa menunggang sebuah lagi motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Monster.

“Saya dan suami berada di kedudukan paling belakang dalam konvoi manakala semua peserta lain sudah melepasi kawasan itu dengan selamat.

“Sewaktu menunggang motosikal pada kelajuan sederhana secara tiba-tiba sekawan lembu sekitar 30 ekor yang berada di kiri jalan menyerbu ke arah kami.

“Saya kena rempuh oleh lembu dekat bahagian kaki kiri tetapi masih dapat mengawal motor daripada terjatuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, namun nasib kurang baik menimpa suaminya kerana motosikalnya terjatuh dirempuh kumpulan lembu itu dan mengalami kecederaan serius hingga menyebabkan berlaku pendarahan dalam otak.

Dewi berkata, mereka berdua dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Suami masih ditahan dalam unit rawatan rapi (ICU) dan masih belum sedarkan diri hingga ke hari ini.

“Doktor belum memaklumkan bila suami dibenarkan keluar dari hospital tetapi saya difahamkan ia bergantung kepada tahap perkembangan kesihatannya,” katanya.

Dia berkata, sepanjang empat tahun mereka menyertai konvoi ini kali pertama terlibat dengan kemalangan membabitkan kumpulan haiwan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu – berita harian