TAIPING: Seorang remaja perempuan terjun ke dalam Sungai Relong di Kampung Kurnia Jaya Tambahan, Kamunting, dekat sini, selepas mendakwa terdengar suara yang menyuruhnya berbuat demikian, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisoner Mohamad Taib, berkata kejadian membabitkan mangsa berusia 15 tahun itu berlaku jam 1.30 tengah hari.

Beliau berkata, pihaknya hanya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.01 petang, memaklumkan mangsa bertindak demikian sebelum diselamatkan teman lelakinya.

“Siasatan awal, mangsa mengatakan sebelum kejadian dia dimarahi oleh teman lelakinya kerana tidak pulang ke rumah pada malam sebelum kejadian.

“Mangsa mengakui terdengar suara ghaib budak lelaki yang menyuruh dia terjun ke dalam sungai.

“Dia kemudian berlari ke arah sungai dan terus terjun ke dalamnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Mohamad berkata, teman lelaki mangsa yang mengikuti mangsa dari belakang turut terjun dan menyelamatkan teman wanitanya itu.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Taiping (HT) oleh ambulans dan keadaannya dilaporkan stabil serta tiada kecederaan, namun dia masih ditempatkan di Wad Kecemasan hospital berkenaan.

“Kakak mangsa memaklumkan kejadian berlaku pada kira-kira jam 1.30 tengah hari dan mangsa pernah dimasukkan ke Wad Psikiatrik HT selama seminggu pada Mei lalu bagi mendapatkan rawatan psikiatrik akibat tekanan,” katanya – berita harian