IPOH – Suara Perak telah dilantik sebagai media rasmi bagi Touring Board Game 2018, satu pertandingan ‘edu-tourism’ anjuran Tourism Perak Management Berhad dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri.

Pertandingan yang julung kali ini akan berlangsung di SM St. Michael Ipoh, pada 14 April bermula 8 pagi.

Quest International University (QIUP) merupakan penaja utama bagi kategori hadiah dengan menawarkan biasiswa pelajaran bernilai RM59,000.

Objektif pertandingan ini bertujuan menggalakkan pelajar menjadi lebih peka dan boleh belajar mengenai produk-produk pelancongan di dalam negeri sendiri, mencipta keseronokan yang akan memberi motivasi kepada mereka untuk berkongsi pengalaman bersama saudara dan kawan-kawan di seluruh dan luar negara melalui media social.

Dengan pendekatan ini, Tourism Perak berharap dapat menarik minat sekolah dan pelajar untuk melibatkan diri dalam program berasaskan pelancongan terutama promosi destinasi-destinasi menarik di negeri ini.

Sejumlah 40 buah sekolah yang membuat pendaftaran terawal akan mengambil bahagian dalam pertandingan kali ini dengan setiap sekolah masing-masing menghantar dua pelajar dan seorang guru sebagai wakil.

Tarikh tutup penyertaan pada 10 April 2018.

Touring Perak board game ini direka untuk mendidik para pemain dengan sejarah, geografi, warisan, budaya masyarakat Perak. Ia melibatkan perjalanan ke Ipoh iaitu ibu negeri Perak melalui empat pintu masuk iaitu dari tenggara (Tanjung Malim), barat laut (Kampung Kedah, Parit Buntar), barat daya (Kampung Teluk Kerdu, Hutan Melintang dan timur laut (Hentian Titiwangsa) Temenggor.

Seperti permainan board yang lain, ia melibatkan lontaran dadu dan sesi soal jawab, bergantung kepada pengetahuan pemain dan nombor dadu ‘bertuah’ untuk memenanginya, di mana pemenang dikira berdasarkan pemain mana yang tiba di Ipoh terlebih dahulu.

Hadiah pertama berupa wang RM1,200, sijil Perak Tourism Ambassador School 2018, biasiswa Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dalam Hospitaliti dan yuran tuisyen Pengurusan Pelancongan untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 bernilai RM36,000.

Hadiah tempat kedua pula merangkumi wang RM800, biasiswa Diploma Pengurusan Hotel untuk pelajar SPM 2018 bernilai RM17,000 manakala tempat ketiga bakal membawa pulang RM500, Asasi Perniagaan atau Seni sebanyak RM6,000 untuk pelajar SPM 2018.

Touring Perak Board Game ini telah dilancarkan oleh Datuk Nolee pada 31 Disember tahun lalu di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh semasa ambang malam tahun baharu 2018.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan, kira-kira 100,000 pelajar di Perak dalam lingkungan umur 13 hingga 17 tahun berpotensi menjadi ejen pelancongan secara tidak langsung di negeri ini dalam masa 10 tahun lagi.

Para pelajar ini diibaratkan sebagai potensi dalaman yang bersedia menjadi duta pelancongan Perak.

Tourism Perak berminat menggunakan mereka untuk mempromosi pelancongan domestik di negeri ini.

Untuk maklumat lanjut, hubungi wakil Tourism Perak Suhazliza di 019-5736979 atau Pengarah Urusan Six Sense Creative Aida di 016 4149266.