IPOH: Suara Perak dipilih memenangi Anugerah Media Berinovasi sempena Malam Anugerah Pelancongan Negeri Perak 2017 yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Hotel Kinta Riverfront di sini malam tadi.

Menteri Besar turut menyampaikan 31 anugerah lain kepada penggiat industri pelancongan dan media yang banyak membantu sektor pelancongan negeri ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal dan Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Nasi Kandar Ayam Merah Vanggey yang lebih dikenali dengan nasi ganja menerima Anugerah Makanan Paling Popular di samping Restoran M. Salim menerima Anugerah Restoran Terbaik (masakan India Muslim) dan Teratak Warisan Kampung menerima Anugerah Restoran Terbaik (masakan Melayu).

Restoran Mun Choong menerima Anugerah Restoran Terbaik (masakan Cina) manakala DNS Kacang Puteh menerima Anugerah Produk Makanan Popular.

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang baharu sahaja diisytiharkan sebagai PBT Terbaik negara di samping beberapa pengiktirafan lain sejak beberapa tahun kebelakangan ini menerima Anugerah Penerima Pengiktirafan Antarabangsa.

Tiga jabatan kerajaan yang turut menerima anugerah ialah Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Negeri Perak (Agensi Kerajaan Berinonasi 1), Tourism Malaysia Negeri Perak (Agensi Kerajaan Berinovasi 2), Majlis Daerah Pengkalan Hulu (PBT Berinovasi 1) dan Majlis Daerah Kerian (PBT Berinovasi 2) di samping PATRO (Produk Pelancongan Berpotensi).

Pangkor Dialouge pula menerima anugerah Acara Pelancongan Terbaik di samping Hospital Pantai Puteri (Syarikat Korporat Berinovasi) manakala Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyyad Beg menerima Anugerah Khas Personaliti.