KUALA KANGSAR: Suasana pilu menyelubungi Makam Diraja Kuala Kangsar, Bukit Chandan di sini apabila jenazah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad selamat dikebumikan kira-kira pukul 9 pagi tadi.

 

Suara tangisan kedengaran dalam kalangan hadirin ketika isteri allahyarham, Datin Mastura Abdul Yazid dan empat orang anaknya, Wan Iskandar,  Wan Imar, Wan Emir dan Wan Amar memberi penghormatan terakhir.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang turut hadir bersama isteri, Datin Seri Saripan Zulkifli juga dilihat tidak dapat menahan sebak sambil memeluk anak Allahyarham.

 

Turut berangkat memberi penghormatan terakhir adalah Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim  mengetuai lebih 200 orang ketika menyambut ketibaan jenazah yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh pada jam 6.50 pagi tadi.

 

Antara tetamu kenamaan yang hadir adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sebelum itu, jenazah telah disembahyangkan di Masjid Ubudiah dengan diimamkan Imam Besar masjid berkenaan, Mohd Helmi Ibrahim dan turut disertai lebih 1,500 jemaah termasuk ahli keluarga.

 

 

  

Allahyarham Wan Mohammad Khair-il yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) adalah antara enam penumpang yang menaiki pesawat Eurocopter AS350 Ecureuil yang dilaporkan terputus hubungan sejak jam 5 petang Khamis lalu ketika dalam penerbangan pulang dari Betong ke Kuching.

Setakat ini, lima mayat telah dijumpai termasuklah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon, suaminya, Asmuni Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai dan pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun.

Pada masa kini, usaha pencarian sedang giat dilakukan untuk mencari seorang lagi mangsa iaitu juruterbang pesawat itu, Kapten Rudolf Rex Ragas yang merupakan warga Filipina. – Suara Perak