PUTRAJAYA: Sub unit tentera darat akan ditempatkan secara berterusan di Cameron Highlands, Pahang, bagi tujuan penguatkuasaan terhadap penerokaan dan pencerobohan tanah kerajaan secara haram dan membasmi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands Bilangan 1/2018 yang dipengerusikannya hari ini.

Beliau berkata, penempatan sub unit Tentera Darat itu dibuat selaras titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Katanya, mesyuarat sama turut memutuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan meneruskan peranan sebagai agensi peneraju di Cameron Highlands dan menyelaras pelaksanaan Op Gading IV secara bersepadu dengan kerjasama agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Pahang.

“Selain itu, peninggalan sisa aluminium, besi dan kayu daripada struktur rumah plastik yang dimusnahkan ketika Op Gading I dan Op Gading II di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) juga perlu dilupus dan dibersihkan segera.

“Mesyuarat juga meluluskan penggunaan pesawat helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk digunakan dalam operasi tinjauan udara serta operasi membantu ketika bencana alam jika diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, sebanyak RM246.5 juta dibelanjakan sejak Op Gading 1 bermula tahun 2014 sehingga tamat tempoh operasi Op Gading III pada 2017.

Katanya, jumlah berkenaan termasuk RM88 juta dibelanjakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam projek untuk mendalamkan empangan sebagai langkah mencegah banjir.

jgkhbkbj

“Ini jelas menunjukkan usaha berterusan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Pahang melestarikan Cameron Highlands sebagai destinasi pelancongan tersohor serta meningkatkan pengeluaran hasil ekonomi negara melalui aktiviti pertanian yang mampan.

“Secara keseluruhannya, tindakan pemulihan Cameron Highlands melalui Op Gading pada tahun 2017 berjalan lancar dan mencapai matlamat operasi,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, operasi itu bukan saja berjaya mengekang kegiatan penerokaan tanah kerajaan secara haram, malah turut memastikan pelaksanaan kerja tebatan banjir dan pembersihan sungai berjalan lancar bagi menghindari berlakunya bencana alam seperti banjir lumpur dan tanah runtuh.

Selain itu, katanya, program penghijauan semula Cameron Highlands di kawasan HSK dan kawasan yang dibuat pemutihan giat dilaksanakan dengan memberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) kepada mereka yang layak terutama pengusaha yang bergantung kepada hasil pertanian untuk menyara keluarga.

“Kerjasama antara agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Pahang dalam operasi ini berjaya memastikan pengambilan tenaga kerja asing menjadi lebih terurus, seterusnya memastikan dalam jangka panjang pengeluaran hasil pertanian tidak terjejas.

“Satu projek mitigasi cerun bernilai RM1.15 juta di penempatan Orang Asli Sungai Tiang juga sedang dalam pelaksanaan dan dijangka siap pada awal bulan depan.

“Apabila siap projek mitigasi berkenaan, 28 keluarga Orang Asli yang tinggal di Sungai Tiang tidak lagi perlu berpindah kerana lokasi sedia ada sudah dijamin selamat,” katanya. -BeritaHarian