IPOH: Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam meramalkan ramai lagi ahli dan pemimpin DAP akan keluar parti kerana hilang keyakinan terhadap dasar dan prinsip yang diamalkan oleh pemimpin mereka.

Katanya, dasar dan prinsip DAP kini sudah berubah dan menyimpang daripada matlamat asalnya sehingga menyebabkan empat wakil rakyatnya bertindak keluar parti. 

“Kita boleh nampak contohnya pada satu ketika Lim Kit Siang menjadi pengkritik yang paling teruk terhadap Tun Dr Mahathir tetapi hari ini mereka sudah duduk semeja dan berpegang tangan, seolah-olah semua benda ini tidak berlaku.

“Itu yang menjadi isu di kalangan ahli dan pemimpin DAP ketika ini dan mungkin mereka berpendapat perhubungan baru ini akan melemahkan parti dan daripada sudut itu, mereka membuat keputusan bahawa lebih baik mereka meninggalkan parti,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan pejabat MIC Bahagian Ipoh Barat dan menyempurnakan Pesta Ponggal di Pusat Perusahaan Kacang Puteh di Buntong pada Ahad. Hadir sama Pengerusi MIC Perak, Datuk V. Elango.

Beliau diminta mengulas tindakan empat pemimpin DAP negeri Melaka, termasuk Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him bertindak keluar parti hari ini.

Mereka yang lain merupakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), iaitu Goh Leong San (Duyong), Lim Jack Wong (Bachang) dan Chin Choong Seong (Kesidang).

Bercakap pada sidang media di Melaka hari ini Tong Him berkata, mereka hilang kepercayaan terhadap parti dan kecewa dengan barisan kepimpinan.

Menurut Tong Him, mereka akan terus menjalankan tanggungjawab dan berkhidmat sebagai wakil rakyat bebas.

Jawatankuasa Disiplin DAP menggantung keahlian Tong Him dan Leong San selama setahun sejak 7 Februari tahun lalu kerana merosakkan reputasi parti.