PASIR SALAK 5 Mac – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan akan penyaluran baja tambahan NPK dan racun kepada 322,000 pesawah seluruh negara sebelum hujung minggu ini.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kelewatan pemberian input tersebut adalah disebabkan pihaknya menunggu kelulusan khas dari Kementerian Kewangan untuk menyambung kontrak Skim Insentif Pengeluaran Padi kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Bagaimanapun, kata Salahuddin, kelewatan pemberian itu hanya melibatkan input racun dalam tempoh kira-kira seminggu dan tidak melibatkan baja tambahan NPK.

“Alhamdulillah, semalam perkara itu telah dapat kita selesaikan, maka dengan itu, tidak timbul isu sawah padi dapat kurang daripada apa yang mereka dapat sebelum ini.

“Jadi, saya harap kita dapat memastikan bekalan ini cukup dan lebih bersedia pada musim akan datang sekali gus tidak lagi menimbulkan isu kononnya kerajaan baharu telah memotong subsidi kepada para pesawah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan baja tambahan NPK dan racun kepada petani kawasan Seberang Perak di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seberang Perak di sini hari ini.

Pada hari ini, sebanyak 53,708 beg bantuan baja tambahan NPK dan racun bernilai keseluruhan RM1,705,845.48 diagihkan untuk keperluan 4,270 petani di Seberang Perak.

Tambah Salahuddin, pihaknya juga serius untuk menambah peruntukan sedia bagi membantu golongan pesawah di negara ini.

Sementara itu, seorang pesawah, Razali Yahya, 40, mengakui lega dengan bantuan tersebut kerana dia terpaksa mengeluarkan duit sendiri kira-kira RM800 bagi membeli racun untuk kegunaan sawahnya seluas empat hektar.

“Sebelum ini, memang ada kelewatan tetapi kita tahu input tetap akan datang, tetapi kali ini, tidak tahu apa status. Kita sudah tanya PPK tetapi tiada jawapan sebab tiada berita dari kementerian.

“Padi perlu diberi racun rumpai pada usia 16 ke 20 hari tetapi sekarang sudah 30 hari, sebab itu saya terpaksa beli racun dahulu kerana jika lewat, pertumbuhan padi akan menjadi kurang sihat dan menyebabkan rumput naik,” katanya. – UTUSAN ONLINE