SUBANG JAYA: Masuk ke negara ini secara haram sejak 13 tahun lalu tanpa sebarang dokumen dan kini mempunyai empat orang anak lelaki berusia dari tiga bulan hingga enam tahun.

Itu pengakuan seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Hassanuddin, 47, ketika dia bersama keluarganya ditangkap dalam sebuah rumah oleh anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen (JIM) menerusi operasi bersepadu di Taman Subang Mas, di sini, awal pagi tadi.

Dia yang berasal dari Sulawesi itu mengakui memasuki Malaysia pada 2005 sebelum berkahwin dengan isterinya tiga tahun kemudian di negara ini.

Katanya, keempat-empat anak lelakinya lahir di dalam rumah yang disewanya itu tanpa mendapatkan sebarang rawatan di hospital.

“Daripada bujang sampai sudah ada anak belum pernah ditangkap, mungkin kerana saya kerja ‘shif’ malam dengan pendapatan kira-kira RM1,000 lebih sebulan.

“Saya semua dengan isteri dan anak-anak tiada dokumen pengenalan diri, pasport juga tiada, ingin juga pulang ke kampung tapi dengan anak-anak kosnya sangat tinggi,” katanya kepada NSTP.

Operasi yang bermula pada jam 12 tengah malam hingga jam 3 pagi di beberapa blok kediaman rumah kedai itu turut disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Pelbagai gelagat pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat disaksikan ketika cuba meloloskan diri termasuklah seorang wanita berusia awal 40an yang cedera selepas terjun dari tingkap rumahnya di tingkat satu bangunan rumah kedai berkenaan.

Sementara itu, Mohd Azis berkata seramai 380 orang diperiksa dan daripada jumlah itu 157 orang PATI berasal dari pelbagai negara, berusia tiga bulan hingga 50 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.

Katanya, sepanjang Ops Mega 3.0 yang dijalankan di seluruh negara mulai 1 Julai hingga 27 Julai lalu, sebanyak 1,568 operasi dijalankan.

“Hasilnya seramai 4,476 PATI ditangkap daripada sejumlah 17,435 orang yang diperiksa membabitkan warganegara Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Filipina.

“Selain itu, seramai 91 majikan yang menggajikan PATI ini turut ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya – berita harian