ARAU: Seorang peniaga dalam talian bukan saja dipukul, malah dibakar pada bahagian muka serta kiri badan dalam satu kejadian di Jejawi, di sini, petang tadi.

Mangsa, Rodzman Rozimi Radzi, 30, yang berasal dari Kuala Perlis melecur teruk dalam kejadian sekitar jam 4.45 petang itu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, berkata pihaknya menerima laporan kes berkenaan yang dibuat sendiri oleh bapa mangsa.

“Berdasarkan makluman, lelaki berkenaan mendakwa anaknya dipukul dan mukanya melecur akibat terbakar di tepi jalan di Jejawi.

“Mangsa dikatakan pulang ke rumahnya di Kuala Perlis selepas dipukul, sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk menerima rawatan,” katanya, ketika dihubungi.

Nanda berkata, kes berkenaan masih disiasat bagi mengenalpasti punca kejadian.

“Kita masih belum menerima laporan penuh kejadian itu kerana mangsa masih tidak sedarkan diri.

“Mangsa akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah untuk rawatan lanjut,” katanya – berita harian