IPOH 7 Mei – Ramalan bahawa kerajaan negeri Perak di bawah Pakatan Harapan (PH) akan jatuh dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu disingkirkan daripada jawatannya sebagai Menteri Besar ternyata cerita kosong.

Sebaliknya Ahmad Faizal berkata, tempoh setahun pemerintahan PH di negeri ini menyaksikan mereka bukan sahaja kekal utuh malah beliau sendiri terus menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Besar.

“Jika kita tengok cerita dari minggu dan bulan pertama (menjadi Menteri Besar), saya dikatakan hanya menjadi Menteri Besar selama beberapa hari sahaja dan kerajaan PH pula akan jatuh.

“Hari ini rupanya masih sama (kerajaan PH di Perak). Malah semua yang mengikuti perkembangan saya sebagai Menteri Besar boleh lihat yang kita masih kekal di sini.

“Jadi kita sedarlah bahawa perkara yang berlaku itu adalah kehendak Allah. walaupun diusahakan oleh ramai pihak untuk kerajaan PH di Perak ini jatuh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak perjanjian antara syarikat penerbangan carter, Scanda Sky dengan Malaysia Airlines Bhd. (MAB) bagi penerbangan Kuala Lumpur-Ipoh-Guangzhou menggunakan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).

Ahmad Faizal berkata demikian ketika mengulas mengenai tempoh setahun pemerintahan kerajaan negeri di bawah PH di Perak. – UTUSAN ONLINE