Kuantan: Tindakan 10 lelaki yang cuba melarikan diri ketika operasi dan pemeriksaan di sebuah premis judi di Cherating di sini, pagi semalam membongkar ‘tembelang’ sebenar apabila mereka didapati positif dadah.

Dalam operasi yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Putrajaya, negeri dan daerah ini, mereka menerima maklumat mengenai premis berkenaan yang menjadi tumpuan penagih sejak beberapa bulan lalu sebelum pemeriksaan dijalankan.

Operasi yang bermula jam 12 tengah malam itu turut menahan 30 kaki judi termasuk penagih dadah yang cuba meloloskan diri termasuk melalui laluan rahsia di pintu belakang premis berkenaan.

Pengarah AADK negeri, Rujhan Ramli berkata, ketika serbuan terdapat 30 lelaki leka bermain mesin slot sebelum menyedari kehadiran pihak berkuasa dan cuba meloloskan diri.

Bagaimanapun, katanya, pegawai dan anggotanya yang mengepung premis itu menahan semua lelaki berkenaan daripada melarikan diri.

“Hasil saringan air kencing ke atas 30 lelaki terbabit mendapati 10 positif dadah jenis syabu dan ganja.

“Mereka yang berusia 23 hingga 55 tahun dibawa ke Ibu Pejabat AADK negeri untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Rujhan berkata, kejayaan operasi yang berakhir jam 2 pagi itu hasil maklumat orang ramai dan risikan yang dilakukan pihaknya sejak dua minggu lalu.

Katanya, kebanyakan penagih yang ditahan tiada pekerjaan dan mereka disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 – berita harian