KUALA LUMPUR: Harapan untuk UMNO kekal kukuh dan teguh bukan hanya diimpikan oleh ahli-ahli parti dan rakyat Malaysia tetapi turut dizahirkan oleh delegasi asing yang selama ini sememangnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah model kepada kepimpinan negara Islam yang sederhana.

Hal tersebut diakui oleh Ibrahim Mahmoud Hamid Ibrahim, Naib Presiden Parti National Kongres, Sudan yang mengadakan kunjungan hormat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Katanya, tanggungjawab UMNO bukan hanya dilihat untuk negara ini tetapi peranannya dalam membawa isu-isu kemanusiaan khususnya memperkenalkan cara hidup Islam yang sebenar amat dipandang tinggi oleh masyarakat antarabangsa.

“Biarpun Malaysia sebuah negara yang kecil namun peranannya dalam memperjuangkan tanggungjawab sebagai sebuah negara Islam dan membawa isu-isu kemanusiaan amat dipuji oleh negara-negara Islam lain,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut melahirkan kebanggaan kerana Parti National Kongres, Sudan mempunyai hubungan baik dengan UMNO bukan sahaja meliputi bidang politik tetapi merentas hubungan sosial termasuklah pendidikan, perusahaan dan lain-lain.

Dalam ucapan balasnya, Tengku Adnan menegaskan pendirian UMNO walaupun sebagai sebuah parti yang berteraskan bangsa Melayu dan agama Islam namun dalam masa yang sama tidak pernah menafikan penglibatan bangsa lain selaku rakyat Malaysia.

“UMNO adalah sebuah parti politik yang bersifat kebangsaan dan berpegang teguh kepada agama Islam tetapi perpaduan dalam masyarakat berteraskan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan budaya maka kerana itulah konsep kesatuan dalam kepelbagaian amat sinonim dengan kita,” katanya.

Delegasi Sudan seramai lapan orang berada di Ibu Kota bagi menghadiri persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang berlangsung sejak Selasa lalu hingga Sabtu.

Selain itu, UMNO turut menerima seramai 95 orang delegasi, mewakili 20 parti melibatkan 16 buah negara yang hadir bersempena persidangan terbabit. – MediaUMNO